Saturday, June 6, 2009

Gemersik Kalbu


Raihana... pertama kali kutatap wajahmu, ada getar yang menusuk di kalbu. Saat itu, hanya suaramu yang bisa melunakkan mimpiku. Meskipun tawamu nampak bahagia, mengapa bening mata itu bersalut duka? Andainya kau pernah terluka, izinkan aku mengubatinya. Namun, jawapanmu sering menyongsang makna. Tinggal harapanku tergapai-gapai, kau biarkan begitu sahaja.

Puas kukikis namamu. Lelah jasadku dek tipu helahmu. Berkali-kali kuulang; aku lelaki yang tak tahu malu. Sayangnya... bayangmu jua yang hadir mengocak tenangku. Belajarlah menerima hakikat, aku adalah kenyataan dan dia adalah kenangan! Sekali lagi kutunggu lafaz cintamu kerana aku bukan lelaki yang tewas!

Sufian... cinta bukan paksaan. Cinta juga bukan simpati. Ikrar kasih kami dulu ibarat tugu di hati ini. Janji setia itu tak mungkin diingkari hanya kerana kamu. Mengertilah... semuanya bukan kemahuan fikiran. Impian dan ingatan terhadapnya sukar diusir pergi. Biarpun bayang duka merantai hidup ini, tapi aku tetap rela.

Bukankah sudah berkali-kali kubilang; belajarlah jadi lelaki yang waras. Sekelumitpun tiada namamu di ruang hati ini. Tapi godaanmu mengekoriku walau di mana. Kau terus memburu, sedangkan dalam mimpi pun aku tak inginkan wajahmu. Biar didera ataupun dipaksa, namun hatiku tidak serapuh salju!


Akhirnya, Raihana begini dan Sufian begitu. Di manakah titik pertemuan mereka?


Cemburu Seorang Perempuan

Tidak sulit beristeri dua, Dhiya'… kiranya yang kedua itu ialah dirimu. Kiranya yang kedua itu penuh redha sepertimu... Isteri, di wajahmu ada syurga... yang di dalamnya beralun tenang alirannya dan sesekali aku rindu... namun yang sesekali itu, aku seringnya tidak mampu untuk memenuhinya. Kasih sayang kita ada sempadan yang memisahkan, hingga ruang-ruang intim antara kita... aku lemas sebelum waktunya. Andainya syurga buatmu, lalu aku harus menjadi suami yang bagaimana... selayaknya aku di mana? Dan adakah syurga buat suami sepertiku... suami yang sering gagal meletakkan keadilan di dalam rumah tangga. Isteri... melamarmu menjadi isteri kedua adakah suatu yang dinamakan kesilapan, bila tatkala kesempurnaanmu menjadikan aku seorang suami yang gagal…

"Akukah yang tidak adil di dalam menimbang kasih?"